Free Web Site - Free Web Space and Site Hosting - Web Hosting - Internet Store and Ecommerce Solution Provider - High Speed Internet
Search the Web

Tuntutan berfikiran positif

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


Persaingan hidup penuh mencabar yang mewarnai alam ini sedikit sebanyak menuntut kita untuk bersabar dan bersemangat waja dalam melayarkan bahtera kehidupannya menuju matlamat yang disasarkan. Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menjadi perhiasan diri untuk mencipta kejayaan dalam hidup ialah berfikir positif atau positive thinking. Secara harfiah, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan yang menimpa dirinya.


Di dalam istilah bahasa Arab, perkataan berfikir positif lebih dikenali sebagai Husnu al Zhan yang bermaksud berprasangka baik iaitu lawan kepada perkataan Suu al Zhan yang bermaksud berprasangka buruk. Di antara kedua-dua sifat yang berlawanan itu, Islam amat menganjurkan umatnya agar bersifat berprasangka baik dalam hidup berbanding sifat berprasangka buruk yang tercela.

Perlu diinsafi sikap prasangka memainkan peranan penting dalam mencorak dan menentukan hala tuju hidup. Menurut Razzi Armansur dalam bukunya Hidup Untuk Menang, apa yang disangka itulah yang selalunya terjadi. Ini kerana selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses bagi menghasilkan penjara sendiri, prasangka juga adalah doa dalam senyap. Bila anda berprasangka buruk bermakna anda berdoa dalam hati, mendoakan sesuatu yang buruk supaya terjadi. Ini memang tidak disedari, tetapi itulah yang selalu terjadi. Semua orang tidak mahu dan sentiasa mengelakkan yang buruk tetapi itulah selalu yang diminta dan didoakan. Kerana itu Islam menyuruh dan menggalakkan supaya umatnya berprasangka baik . Seperti tadi, berprasangka baik bermakna hati sedang berdoa supaya mendapat kebaikan dan kejayaan. Prasangka buruk amat merugikan. Tidak ada kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan, perniagaan, pelajaran dan lain-lain jika berprasangka buruk.

Kenyataan itu disokong oleh Imran Jafar dalam bukunya Kunci Kejayaan Napoleon Hill yang menegaskan sikap mental yang positif ialah sikap mental yang betul dalam sebarang situasi dan biasanya terdiri daripada ciri-ciri positif seperti kepercayaan, integriti, harapan, sikap optimis, keberanian, inisiatif, murah hati, toleransi, kebijaksanaan, baik hati dan akal budi yang baik. Ditambah lagi, sikap mental yang positif ini adalah satu daripada 17 prinsip kejayaan yang diperkenalkan oleh Napoleon Hill yang menjadi intipati tindakan dan sikap setiap orang yang pernah mencapai kejayaan berkekalan.

Rasulullah amat menyanjung mukmin berfikir positif dalam hidup, bahkan sifat itu antara ciri-ciri seorang mukmin sejati. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperolehi kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, dia bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya. (Hadis riwayat Muslim)

Seorang mukmin sejati pasti menginsafi bahawa hal-hal yang baik mahupun yang buruk dalam kehidupan akan datang silih berganti. Pada satu ketika, dia akan mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin pada satu ketika yang lain, dia akan ditimpa kesusahan dan kesedihan yang akan menguji kesabarannya. Begitu juga pada waktu ini dia menikmati kesihatan memuaskan yang memungkinkan dia melakukan sesuatu kerja dengan lancar dan pada waktu yang lain dia ditakdirkan jatuh sakit hingga kerja hariannya akan terbantut buat seketika.

Terdapat juga sesetengah manusia begitu mudah memperolehi rezeki yang datang mencurah-curah dianugerahkan Allah, manakala yang lain berasa sukar untuk mendapatkan rezeki biarpun sesuap nasi walaupun tenaga dikerah dan keringat dicurahkan. Namun semua itu menjadi ketetapan dan ketentuan Ilahi yang mengatur dan menyusun perjalanan alam maya yang terbentang luas ini.

Ini bermakna perjalanan hidup setiap makhluk tidak tetap dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa, dari satu keadaan kepada keadaan lain menurut sunnatullah termaktub di Loh Mahfuz. Situasi ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya). (Surah Ali Imran, ayat 140)

Namun, bagi mukmin yang beriman kepada Allah tetap akan menerima apa yang berlaku dalam hidup dengan penuh reda dan insaf, tidak kira sama ada peristiwa itu manis atau pahit, suka mahupun duka. Oleh itu, apabila seseorang mukmin itu menerima kebaikan dan nikmat kesenangan, dia akan memanjatkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan nikmat. Pengertian syukur tidak hanya terbatas kepada ucapan alhamdulillah ratusan kali, malah ia mesti dijelmakan dalam bentuk praktikal supaya kebaikan dan nikmat kesenangan yang diperolehi bukan hanya bermanfaat untuk dirinya bahkan untuk orang lain, misalnya berzakat, bersedekah, menderma, mewakafkan harta dan sebagainya.

Dalam pada itu, apabila seseorang mukmin itu ditimpa musibah atau kesusahan, keluarganya, hartanya dan hidupnya, dia akan bersabar dan tidak keluh-kesah. Ini kerana mereka meyakini Allah telah menyediakan ganjaran berlipat ganda di atas kesabaran mereka menghadapi situasi begitu. Allah berfirman bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Perlu diinsafi kesabaran ketika menghadapi kesusahan dan musibah bukan bermakna kepasrahan dan bersifat pesimistik serta putus harapan terhadap peristiwa yang terjadi. Sebaliknya, apa yang berlaku seperti kemiskinan, kecelakaan, musibah, kegagalan, kerugian, kekalahan dan seumpamanya wajar difahami bahawa ia mengungkapkan pelbagai hikmah dan pengajaran yang perlu diterima dengan hati lapang dan reda. Selama seseorang itu menjalani hidup ini bersesuaian dengan sunnatullah yang termak- tub dalam Loh Mahfuz berbekalkan iman dan takwa di sudut jiwa serta tidak bercanggah dengan batas agama dan nilai hidup murni, maka bermakna musibah dan kesulitan yang berlaku itu sebenarnya ujian Allah. Sedangkan Allah telah mengenakan ujian lebih berat kepada orang yang lebih kuat imannya. Dari sinilah wujudnya buah kesabaran dan ketabahan yang akan bertapak kukuh dalam sanubari seseorang hamba yang bertakwa.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Sebaliknya, jika musibah dan bencana yang timbul itu akibat daripada pengingkaran terhadap peraturan Allah dengan melakukan larangan-Nya, maka tidak ada jalan keluar daripada musibah itu melainkan dengan bertaubat nasuha kepada Allah dengan segala syaratnya sebagaimana dibahaskan secara panjang lebar oleh ulama.

Demikianlah Islam menganjurkan umatnya supaya menghiasi diri dengan sifat sabar dan bersikap positif dalam mendepani cabaran hidup yang penuh pancaroba dengan harapan matlamat kebahagiaan sejati dan keredaan Ilahi di dunia dan di akhirat akan tercapai.